.

.

Pages

03 APRIL...KISAH DISEBALIKNYA @NajibRazak

Tuesday, April 3, 2012

Assalamualaikum...


03hb April ....apa yang menarik pada tarikh hari ini. 

Mengapa MKT tiba-tiba sahaja memberi tumpuan kepada tarikh 03 April? 

Untuk pengetahuan para pembaca, 03hb April adalah tarikh salah seorang tokoh kenegaraan iaitu Datuk Seri Najib bin Tun Razak, DILANTIK sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 menggantikan Pak Lah yang bersara awal.


MKT hendak menceritakan sedikit sebanyak latar belakang tokoh ini :

Dato' Seri Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 23hb Julai 1953. Beliau merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah.

Pada tahun 1976, beliau berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dan mendapat tiga anak: Mohd Nizar Najib (lahir 1978), Mohd Nazifuddin Najib dan Puteri Norlisa Najib. Pada tahun 1987 beliau bercerai dengan Ku Yie dan berkahwin dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan mendapat dua anak lagi: Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib. Beliau juga sepupu kepada Datuk Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di WorchestershireEngland. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

Beliau mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976. Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong, akibat kematian bapanya, ketika berumur 23 tahun, dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu.

Beliau menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian, pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:

1978-1980 - Timbalan menteri Tenaga, Telekom dan Pos

1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan

1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan

1982-1986 - Menteri Besar Pahang

1986-1987 - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan

1990-1995, 1999-2008 - Menteri Pertahanan

1995-1999 - Menteri Pendidikan

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan (Majuternak) pada tahun 1977-1979. Kepimpinan beliau teruji dan terus diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan negara. Dalam UMNO, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO mulai tahun 1981.

Pada tahun 1982, beliau memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan jawatan itu.

Pada 1987, beliau diumumkan sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO oleh Anwar Ibrahim setelah Anwar didesak bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi ketua pada 25 Mei 1988 setelah UMNO ditubuhkan semula. Pada tahun 1993 pula, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, ekoran langkah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau terus mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000.

Pada 7 Januari 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, beliau bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional . Beliau telah bertanding di kawasan Parlimen Pekan , negeri Pahang. Beliau telah menang dengan mendapat undi majoriti sebanyak 36,262. Calon lawan ialah Khairul Anuar Bin Ahmad Zainudin dari PKR mendapat 9,798 undi.

Setelah beliau memegang tampuk Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia yang memupuk perpaduan rakyat di antara kaum. Ia juga dijadikan tema kemerdekaan pada tahun 2009. Terdapat dakwaan yang menyamakannya dengan Parti politik Gagasan One Israel dan ada juga ura-ura DAP yang cuba mengalihkan perhatian dengan retorik 'Middle Malaysia" yang dikatakan sama seperti 1 Malaysia.

Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh beliau apabila mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April yang lalu.

Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan Nasional. Ianya satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.

Apa-apa pun MKT hendak mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun ke-3 sebagai Perdana Menteri dan semoga beliau dapat meneruskan legasi kepimpinan bangsa Melayu Islam di negara yang bertuah ini. Teruskan usaha Datuk Seri kerana kami tahu dan yakin akan kemampuan Datuk Seri untuk menerajui Malaysia ke masa depan yang lebih gemilang dari sebelumnya.

0 ulasan:

Post a Comment

 
© Copyright 2010-2011 Melayu Kedah Terakhir All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.